PROJEK MSI 17059: Cosmeceutical Workshop with Cymbopogon nardus : Natural Product Invention

Cosmeceutical workshop menyediakan kursus pembelajaran yang luas untuk merumuskan produk kosmeseutikal asas seperti losyen penghalau serangga . Matlamat program/bengkel ini adalah untuk mengajar kemahiran dan teknik asas kepada orang awam untuk menghasilkan pelbagai produk kosmetik menggunakan asas semula jadi (tumbuhan), untuk menjadi kreatif dan inovatif untuk mengkomersilkan produk. Program ini termasuk penjelasan terperinci tentang peraturan keselamatan yang mentadbir piawaian formulasi produk.

PROJEK MSI 17003: Program Pengeluaran Benih Kumpulan Halia (Zingiber spp.) Menggunakan Teknik Tisu Kultur & Sistem Fertigasi

Projek ini bertujuan untuk memindahkan teknologi asas bioteknologi secara mudah dan praktikal kepada orang awam khususnya. Projek ini cepat dan boleh dilaksanakan dengan segera. Kosnya rendah kerana projek ini memberi impak dan nilai yang tinggi kepada mesyarakat. Ianya mudah direplikasi apabila teknik ini amat mudah difahami dan dipraktikkan. Kemudahan asas dan sistem fertigasi turut diwujudkan agar teknologi kultur tisu iniboleh diteruskan oleh para usahawan dalam memajukan industri tanaman. Program ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan yang konsisten kepada usahawan.

PROJEK MSI 17053: Program Penghasilan Makanan Ternakan Ruminan Kos Rendah dan Mampan Menggunakan Teknologi Silaj oleh Komuniti di kawasan Padang Terap, Kedah

Projek ini melibatkan latihan mengenai proses penyediaan silaj jagung kepada komuniti penternak ruminan dan penanam jagung di kawasan KEDA. Penanaman jagung akan dilaksanakan oleh komuniti penternak ruminan dan penanam jagung akan dilatih untuk menghasilkan silaj jagung yang berkualiti dengan kos yang rendah. Dengan adanya silaj, komuniti penternak dapat memformulasikan dan menyediakan makanan ternakan secara mampan dan berkualiti. Ini juga salah satu usaha bagi membantu kerajaan memastikan bekalan makanan ternakan berkualiti yang mencukupi untuk penternakan haiwan ruminan.

PROJEK MSI 17044: Program Penanaman Cendawan Melati Untuk Penjanaan Pendapatan Sampingan Bagi Komuniti Pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik

Projek ini bertujuan supaya pelatih-pelatih PUSPEN dapat menggunakan skil yang telah diberikan agar mereka dapat mengusahakan sendiri kebun cendawan setelah keluar dari pusat pemulihan. Selain mempunyai kemahiran dalam bidang penanaman, cendawan yang dihasilkan boleh dijual dan hasilnya mampu memberi semula modal untuk mereka terus konsisten dalam penanaman cendawan melati ini. Fasiliti rumah cendawan turut disediakan agar skil ini dapat diteruskan sehingga beberapa tahun dan seterusnya memberikan pendapatan yang konsisten kepada pelatih.

PROJEK MSI 17051: Program Memupuk Minat Terhadap Sains Melalui STEM@School : Science Bootcamp MSI2017 di Melaka

Program STEM@School Science Bootcamp Melaka menerapkan elemen-elemen STEM dalam setiap aktiviti atau bengkel pendidikan sains tidak formal yang disusun. Aktiviti ini dibentuk dengan cara santai dan menarik bagi melengkapi pembelajaran sains formal yang sedia ada di sekolah, dalam usaha menarik minat pelajar terhadap sains. Konsep pembelajaran melalui pendekatan pelbagai aktiviti sains seperti hands on dan minds on seperti ini mampu mengubah tanggapan pelajar-pelajar bahawa sains bukanlah bidang yang sukar sebaliknya merupakan bidang yang mudah dan menyeronokkan. Program ini merupakan program di bawah inisiatif MOSTI Social Innovation (MSI) yang dikendalikan oleh National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka.